Berita

Aduan Pengguna
  • Administrator
  • 26 Jan 2017

1,000 risalah keselamatan diedar



Kuala Lumpur: Bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina, sebanyak 1,000 risalah keselamatan dan pek minuman diedarkan kepada pengguna jalan raya oleh Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) di Plaza Tol Sungai Besi di sini, semalam.

Presiden Kebangsaan PPPM, Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata, Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina itu dilaksanakan bagi memberi kesedaran mengenai keselamatan dan nyawa insan tersayang.

“Setiap kali musim perayaan, statistik kemalangan akibat kecuaian membimbangkan dan kempen ini diadakan sebagai langkah awal bagi mengingati pengguna jalan raya mengenai bahaya kecuaian ketika memandu,” katanya ketika ditemui di Plaza Tol Sungai Besi arah utara di sini, semalam.

Teruskan Membaca
  • Administrator
  • 06 Nov 2016

Minyak masak mungkin diseludup melalui lorong tikus



KUALA LUMPUR - Minyak masak bersubsidi dari Malaysia yang dilaporkan mudah diperoleh di sempadan sebelah Thailand mungkin dibawa keluar ke negara jiran itu melalui 'lorong tikus'.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh berkata tindakan itu bagi mengelak pemeriksaan Jabatan Kastam.

"Kita perlu mengetahui bagaimana pihak tidak bertangggungjawab membawa keluar minyak masak berkenaan. Kita perlu pastikan tahap kegiatan itu termasuk jumlah sebenar minyak masak bersubsidi (Malaysia) yang dijual di sana," katanya kepada Bernama.

Media hari ini melaporkan bahawa ketika orang ramai mengeluh tentang kesukaran mendapatkan minyak masak, bahan itu didapati berlambak dijual di Thailand.

Jamil turut menarik perhatian bahawa minyak serta barang keperluan lain seperti tepung dan gula perlu mendapat kebenaran dan kelulusan KPDNKK sebelum dieksport.

Jamil berkata, pemeriksaan di laluan pintu masuk dan keluar sempadan negara bukan di bawah bidang kuasa KPDNKK, namun sentiasa bekerjasama dengan pihak termasuk Jabatan Kastam untuk menangani masalah yang timbul.

Sementara itu, sumber dari Agensi Keselamatan Sempadan di Bukit Kayu Hitam berkata penyeludupan di sempadan sukar dikesan kerana pelakunya licik menghidu operasi yang sering dijalankan pihak berkuasa.Menurutnya, pelaku kegiatan penyeludupan sudah mengecam pihak berkuasa yang bertugas di kawasan berkenaan.

"Orang mereka 'tonto' ada di mana-mana sahaja dan bila buat rondaan atau risikan mereka sudah kenal anggota dan pegawai di sini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi meningkatkan kawalan bagi mengekang aktiviti penyeludupan seumpama itu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata penguatkuasaan di sempadan perlu dilakukan secara bersepadu melibatkan jabatan dan agensi termasuk tentera, terutama di kawasan yang menjadi lorong tikus.

Beliau turut mencadangkan supaya pengeluaran minyak masak paket 1kg hanya dibenarkan untuk kegunaan tempatan dan dilabelkan sedemikian bagi memudahkan penguatkuasaan.Beliau berkata mekanisme pengeluaran lesen pembungkusan minyak masak bersubsidi perlu dikaji bagi mengelak ketirisan. - Bernama

Teruskan Membaca
  • Administrator
  • 15 Jul 2016

Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 masih relevan

KUALA LUMPUR: Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 masih relevan dan perlu dikekalkan untuk melindungi pengguna, khususnya menjelang perayaan seperti Aidilfitri.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd Firdaus Abdullah, berkata peniaga dan pembekal akan menaikkan harga barang sesuka hati jika kerajaan tidak melaksanakan skim kawalan harga menggunakan akta itu.

"Malaysia adalah negara pengimport makanan dan perlu memiliki akta khusus untuk melindungi pengguna. Biasanya harga barang akan meningkat selepas musim perayaan kerana tiada lagi skim kawalan harga dan di sinilah kepentingan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 untuk melindungi pengguna," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam bahawa kerajaan bercadang mengkaji semula Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 kerana dikatakan tidak mesra pelabur dalam pasaran terbuka.

Bagaimanapun, kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk dewan perniagaan, persatuan pengguna, pihak industri dan pengguna sebelum memutuskan sama ada akta itu dimansuhkan atau sebaliknya, menjelang akhir tahun ini.

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 digunakan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati, termasuk tindakan menyorokkan barangan harga kawalan serta menaikkan harga dengan alasan kekurangan bekalan.

PEGAWAI Penguatkuasa Kanan dan Ketua Unit Anti-Pencatutan KPDNKK Kelantan, Shamsuri Hamzah (dua dari kiri) memeriksa penjualan ayam yang disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga dalam operasi oleh anggota penguatkuasa KPDNKK Kelantan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Selasa lalu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.

Teruskan Membaca